SINGAPURA: Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan merupakan antara beberapa Ahli Parlimen (MP) di negara ini yang menerima surat berbaur ugutan beserta imej yang dimanipulasi.

Balakrishnan dan MP kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) Holland-Bukit Timah Edward Chia dan MP GRC Jurong Tan Wu Meng hari ini membuat hantaran di laman media sosial mereka mengenai perkara itu, dan menyatakan mereka telah membuat laporan polis.

"Perbuatan ini adalah amat dikesali dan bertentangan dengan nilai dan amalan baik yang kita cuba pupuk dalam masyarakat kita.

Kami telah membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya," menurut Balakrishnan dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu Chia menggesa setiap orang supaya bersatu untuk membanteras aktiviti penipuan ini.

"Dengan peralatan yang sedia ada, sesiapa pun boleh menghasilkan kandungan 'deepfake' dalam masa beberapa minit. Ini boleh mendatangkan ancaman kepada jalinan sosial kita. Jika dibiarkan, ini akan menjejaskan pendirian umum kita dan mereka yang kita sayangi," kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Tan dalam platform media sosial sama berkata beliau enggan membuat spekulasi tentang identiti pelakunya dan waktu insiden itu berlaku.

"Tetapi biarlah saya mengatakan ini:"Kami tidak takut dan tidak akan membenarkan sesiapa pun untuk menakut-nakutkan kami atau menghalang kami daripada menjalankan tugas," kata beliau.

The Straits Times (ST) melaporkan pada Jumaat dengan memetik polis bahawa lebih daripada 70 orang menerima surat berbaur pemerasan mengandungi foto lucah mereka dalam Mac dan April.

Surat-surat itu dihantar kepada tempat kerja penerima dan diberi amaran mengenai kesan dan padah bakal diterima mereka sekiranya tidak menghubungi e-mel yang dilampirkan, kata akhbar itu lagi.

-- BERNAMA